Tuesday 20 July 2021

Jemput-Jemput Pisang Kapas



Minggu lepas dapat kiriman pisang kapas dari kakak yang duduk kat Kelantan negeri Cik Siti Wan Kembang nun jauh di pantai timur. Terima kasih kakakku sayang. ❤

Rasanya saya tak pernah beli pisang kapas. Susah nak jumpa kot kalau kat kedai runcit. kedai acheh kat area rumah ni lagi la. Selalu ada pisang yang sama je. Pisang cavendish rasanya. Pisang emas pun dah lama tak makan. Sedapnya pisang emas. Yummy. 

Pisang kapas ni selain sedap dibuat cekodok, ia juga sedap dimakan begitu saja. 
Tengoklah isi dia yang putih melepak tu. Hihi. 

Dua biji saya dah makan gitu, tinggal lagi tujuh biji ni eloklah kita olah dia menjadi jemput-jemput pisang. Hehe.

Jemput-jemput pisang ni sememangnya menjadi kegemaran ramai kan. Apatah lagi jika digandingkan dengan teh o panas atau kopi panas. Memang terangkat orang kata. 






Pisang kapas 




Adunan kosong tanpa jagung manis




Adunan yang telah dicampur jagung manis. Saja je letak jagung manis. Nak tahu rasa dia macam mana. 





Sebelah kiri yang original, sebelah kanan yang telah dicampur jagung manis. Sebenarnya rasa kedua-duanya takde beza pun. Sama je. Haha. 





Suka tengok rupa dia yang berurat tu. 

 


Jom kita tengok resepi dia. 

 

Bahan-Bahan:

7 Biji Pisang Kapas Masak

7 Sudu Makan Tepung Gandum (Boleh lebihkan jika suka)

2 Sudu Makan Gula

Secubit Garam

½ Sudu Kecil Soda Bikarbonat

½ Mangkuk Kecil Jagung Manis

 


Cara-Cara:

1. Lenyekkan Pisang Dalam Sebuah Bekas.

2. Setelah Itu Masukkan Gula Dan Garam, Kacau Sebati.

3. Masukkan Tepung Gandum Sedikit Demi Sedikit Dan Soda Bikarbonat.

4. Kacau Hingga Sebati.

5. Bahagikan Adunan Kepada 2 Bahagian.

6. Satu Bekas Original, Manakala Satu Bekas Lagi Bolehlah Masukkan Jagung Manis Dan Kacau.

7. Boleh Goreng Dalam Minyak Yang Panas.

8. Siap Untuk Dihidangkan.


Jom makan cekodok pisang! :)

Friday 16 July 2021

Kasih Yang Bersemi



Meski hari berlalu pergi

Semoga kasih akan selalu bersemi

Semoga rindu tetap dalam hati

Masih banyak yang harus ditempuhi

Masih panjang jalan yang menanti

Tuhan temukan kita untuk saling ikat bahagia

Untuk saling temani kala suka dan duka

Senyummu bahagiaku

Namamu tetap dalam doaku

Semoga harapan dikabulkan Tuhan

Semoga hari mendatang dilingkari senyuman


Senyumselalu,fy.

Thursday 8 July 2021

Saat-Saat Indah

 


Saat-saat indah yang kita lalui, 
semuanya akan menjadi kenangan.
Kenangan yang sering diulang-ulang dalam ingatan, 
tanpa rasa jemu mengenang. 

Begitulah kita manusia. 
Selagi ada masa, 
hargailah insan kesayangan kita. 
Beri ruang dan peluang untuk kita sama bahagia. 
Siapa tahu itulah saat-saat terakhir kita bersama. 

Nanti-nanti bila dah tiada, 
kenanganlah yang akan menitiskan air mata kita. 
Seringkali kita akan lebih menghargai 
apabila seseorang telah pergi dari sisi. 


Senyumselalu, fy.

Monday 5 July 2021

Ujian dan Kebahagiaan


Sejauh mana kaki melangkah, semoga hati akan tetap tabah.

Badai akan selalu melanda, hujan akan turun jua.

Namun ingatlah, mentari tidak pernah berhenti memancarkan cahaya.

Kebahagiaan,

Itulah yang sering diimpikan oleh setiap orang.

Kita sering tercari-cari kebahagiaan.

Hakikatnya, bahagia itu ada dalam diri kita.

Cuba selami, perhati, dan syukuri.

Seberapa banyak nikmat Tuhan yang telah kita nikmati.

Untuk itu, tanamlah selalu dalam hati.

Ujian yang diberi adalah tanda kasih sayang Ilahi.

Semoga rahmat Allah akan selalu melingkari.

Semoga kita masih mampu tersenyum lagi.


Sepenuh Kasih,

Fydaayshah





Sotong Tin Masak Tumis






Kebanyakan orang pernah melalui kesusahan dalam kehidupan, mungkin dari sudut kewangan atau sudut yang lain. Tapi sebenarnya itu semua akan menjadi pengalaman berharga dalam hidup kita.

Yela kan. Kalau kita tak pernah rasa susah, mesti kita tak hargai masa kita senang. Kenapa saya bercakap pasal susah senang kehidupan ni? Hihi. 

Rasa macam ada kaitan dengan tajuk hari ni. Sotong tin masak tumis. Dari saya kecik sampailah besar memang tak pernah makan sotong dalam tin ni. Setahu saya harga dia mahal berbanding sardin. Sebab tu kot mak ayah tak pernah beli. Yela kami bukanlah orang senang dulu. Tapi mungkin juga mak memang tak pandai makan sotong ni sebab tu tak pernah beli. 

Selepas saya berkahwin, encik suami yang ajar saya makan sotong tin ni. Suami beli dan suruh saya masak sotong tin. Alamak, dah lah tak pernah masak. Terfikir cam mano den nak masak ni. 

Dengan bantuan encik google, maka saya dapatlah resepi cara masak sotong tin ni. Hehe. Makan dengan nasi panas dan telur dadar, oh mak ai sedapnyaaa. Tak sangka sesedap ini. Kahkah. 

Maka bermula dari saat itu, beberapa kali jugaklah kami makan lauk sotong tin. Sebab dia mudah nak sediakan. Balik kerja masing-masing penat, kita buat yang mudah-mudah je. Benda boleh buat mudah, buat apa susahkan diri. Haha. 

Jom kita tengok resepi dia. 


Bahan-Bahan:

1 tin sotong dalam tin ( Saiz kecil)

1 1/2 biji bawang merah saiz sederhana (Hiris)

3 ulas bawang putih (Hiris)

5 biji Cili padi (Hiris)

Seketul kecil halia (Hiris)

Air asam jawa 

Air

Garam dan perasa pilihan 



Cara-Cara:

Panaskan minyak dan tumis bahan hiris sampai wangi. 

Masukkan sotong dan air asam jawa. Air sotong tu masukkan sekali. Kalau nak lebih kuah, boleh tambahkan air.

Masak sampai mendidih. Perasakan. 

Kacau-kacau. Agak-agak dah masak, tutup api.

Sedia untuk dihidangkan bersama telur dadar.



Semoga yang baik-baik akan selalu hadir dalam hidup kita, senyum selalu. :)

Sekian.












Thursday 1 July 2021

Sambal Telur Puyuh






Sambal telur puyuh ni masak beberapa hari lepas. Permintaan encik suami. Suami saya memang suka betul dengan sambal telur puyuh. Kalau makan kat luar tu kan mesti nak beli kalau dia tengok ada. 

Tapi orang kata telur puyuh banyak kolesterol kan. Maka, ambillah secara berpada-pada. Gitu. Hihi. 

Seingat saya la kan, masa zaman sekolah dulu macam sangat jarang nak dapat makan telur puyuh ni. Tak tahu la kenapa. Selalu makan telur ayam je. Tapi dulu kami adik beradik makan tak memilih. Apa yang mak masak, itulah yang kami makan. Meskipun sekadar lauk telur dadar dan sayur kan, tapi dah rasa bahagia sangat.

Tiba-tiba rasa rindu dengan kenangan lalu. Emm.

Okay berbalik kepada sambal telur puyuh tadi. Resepi yang mudah dan ringkas je. Saja nak tepek kat blog. Hehe.


Bahan-bahan:

30 biji telur puyuh - Direbus dan dikupas kulit

Cili kering 30 tangkai - Direbus, buang biji, dan cuci sampai bersih *

Bawang merah saiz sederhana 3 biji *

Bawang putih 4 ulas *

Asam jawa -  hujung sudu kecil

Garam, gula, dan perasa pilihan


Cara-cara:

Kisar halus bahan bertanda *. Letak air dan minyak sikit waktu mengisar.

Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sampai pecah minyak.

Tambah air dan biar pecah minyak sekali lagi.

Masukkan asam jawa.

Perasakan dengan garam, gula, dan perasa pilihan.

Masak sambal sampai pekat berminyak.

Masukkan telur puyuh yang telah dikupas. 

Kacau sebati dan sedia dihidang.


Sambal telur puyuh ni bukan sahaja sedap dimakan dengan nasi putih, kalau makan dengan nasi lemak lagilah terangkat. Hihi.

Selamat mencuba!





Thursday 3 June 2021

Nasi Lemak Goreng




Hari ni saja nak share resepi nasi lemak goreng. Emm saya tahu mesti ramai yang dah pernah buat nasi lemak goreng kan. Rasa dia sangatlah sedap pada tekak saya. Hehe. Tapi maaflah gambar pun macam jelas tak jelas je. Biasalah telefon cap ayam je kita. 🤭

Baru-baru ni ada buat nasi lemak pastu ada lebih pulak. Apa lagi, kita gorengkanlah dia. Hihi. Saya ni sebenarnya memang suka makan nasi goreng. Kalau pergi kedai makan tu, macam-macam nasi goreng yang saya cuba. 

So, kepada anda yang nak mencuba resepi nasi lemak goreng ni amatlah dialu-alukan. 

Jom kita belek resepi dia. Sukatan ni korang agak-agak jela ikut berapa banyak korang nak masak. 😁


Bahan-Bahan:

Nasi Lemak

Sambal Ikan Bilis

Sayur Kangkung

Bawang Merah

Bawang Putih

Telur

Garam

Perasa Pilihan


Bahan Hiasan:

Ulam Timun

Telur Rebus

Keropok Papadom


Cara-Cara:

Tumis Bawang Merah Dan Bawang Putih Sampai Wangi.

Masukkan Sambal Ikan Bilis Dan Kacau Sebati.

Masukkan Telur Dan Kacau-Kacau. 

Setelah Itu, Masukkan Nasi Lemak Bersama Sayur Kangkung.

Tabur Garam Dan Perasa Pilihan Dan Kacau Sebati Sampai Masak.

Sedia Dihidangkan.


Mudah bukan? Hihi. 🤭