Tuesday, 22 September 2015

Dugaan dan Rintihan

Ketika Allah rindu pada hamba-Nya, Allah akan mengirimkan sebuah hadiah istimewa melalui malaikat Jibril yang isinya adalah ujian…

Dalam hadith qudsi Allah berfirman:
“pergilah pada hamba-Ku lalu timpakanlah berbagai ujian padanya kerana Aku ingin mendengar rintihannya.”
(HR. Thabrani dari Abu Umamah)

Sahabat sekalian, hadirnya ujian itu tanda Allah sayang. 
Bila ujian menghampiri, tabahkan hati..jangan pernah berhenti berharap pada Ilahi. 
Pasti kita temui bahagia hakiki.

Bukankah Allah telah berfirman dalam surah Al-Insyirah ayat 5 dan 6 yang bermaksud;

Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.

Usahlah kita bersedih hati di atas dugaan yang menimpa kita. Sebaliknya terus ceria dan bersemangat untuk menghadapi hari mendatang.
Ingatlah, kita masih punya dahi untuk bersujud dan tangan untuk berdoa kepada Allah Azza Wajalla. 

Mintalah apa saja, pasti dikabulkan-Nya. Cepat atau lambat sahaja. Yang penting, serahkan hati dan diri kita kepada-Nya. Pasti kita beroleh ketenangan hidup. Wallahualam.



Friday, 18 September 2015

Monolog Cik Pearl

Aku rindu. Rindu bumi tarbiyah itu yang banyak mengajar aku erti kehidupan. Di situ aku mengenal ertinya sahabat, ertinya kerinduan, dan ertinya kepayahan. 
Di situ tempatnya aku menadah ilmu dunia dan akhirat. 
Di saat aku keseorangan terkapai-kapai mencari hala tujuan, Allah hantarkan aku insan-insan hebat yang membantu aku menyelusuri jalan kehidupan yang terasa amat payah ini. 
Kami berjuang di atas landasan yang sama. Aku syukuri itu. 
Meski kini mereka terlalu jauh daripada pandanganku.

Aku rindu. Terlalu rindu pada kenangan lalu. 
Kenangan di bumi tarbiyah itu yang bercambah menjadi kerinduan yang mendalam. 
Hanya doa mampu ku kirimkan buat mereka yang pernah singgah dalam kanvas hidupku. Kehadiran mereka menambahkan warna-warni di kanvas itu yang dulunya kelam dan kusam dek hambatan dosa silam. 
Maha Besar Allah yang mentakdirkan percaturan hidupku begini.

Ya Rabbi, andai tangis siangku tidak mencukupi untuk aku meraih redhaMu, izinkan aku untuk bersujud padaMu di malam hari. 
Biar tangis taubatku terhambur di situ. Sesungguhnya aku rindu berada dalam dakapan kasih sayangMu. 
Biar lenaku diulit mimpi indah dek kenangan lalu. 
Biar jiwaku basah dengan tasbih memujiMu. 
Biar hatiku berbunga mekar saat ku sambut cintaMu yang terlalu agung buatku persis kelopak bunga yang mekar indah berkembang atas izinMu.

Aku rindu. Rindu untuk syahid di jalanMu. 
Biarpun jasadku tak mampu mengangkat beratnya senjata yang menghunus di perut musuhMu. Izinkan aku untuk berdiri menjadi mujahidah sejati di jalan dakwahMu saat kukhabarkan manisnya cintaMu kepada insan terdekatku. 
Bersama-sama meraih tangan mereka untuk ke syurga.

Sesungguhnya aku rindu.


Ujian Tuhan

Sahabat, 
dalam kita melangkah terkadang diuji dengan ujian yang terasa berat hingga kita terduduk dan menangis, peritnya terasa. 

Tapi ketahuilah dan renungilah kembali ke dalam diri kerana mungkin air mata tika itu hadir kerana Allah SwT mahu kita menjahit kembali sejadah iman yang kian terkoyak lantaran ada langkah-langkah yang tersasar daripada keikhlasan.

Malah,

Di setiap jalan pasti ada likunya, pasti ada cabarannya. 
Ujian Allah itu cabaran dalam perjalanan panjang menuju ke kampung akhirat. Hadapilah ia dengan solat dan sabar, pasti bahagia menjadi milik kita.


Firman Allah dalam surah Al- Baqarah ayat 45: Dan mohonlah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat, dan solat itu amatlah berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.

Ujian yang hadir itu bukannya sebab Allah dah tak suka. Sebaliknya, Allah berikan dugaan buatmu kerana Allah rindu akan rintihanmu sahabat.

Bersyukurlah kamu saat diuji kerana Allah ingin mengangkat darjatmu disisi-Nya. Setiap yang berlaku pasti ada hikmah yang tersembunyi di belakang hari. 
Dan kita tinggal redha atas setiap dugaan yang hadir dalam hidup kita.